Pembedahan Plastik di Malaysia: Menuju Fasa Baru Setanding Pembedahan Plastik Korea

(MStar.com.my) - Sebut sahaja pembedahan plastik, pasti ramai yang terbayangkan wajah kacak dan jelita selebriti-selebriti K-Pop dari Korea Selatan.

Negara tersebut sememangnya diakui hebat dalam bidang pembedahan plastik tetapi siapa sangka, Malaysia turut mempunyai kepakaran serupa.

Biarpun tidak begitu menonjol, negara kita ada menawarkan khidmat pembedahan plastik untuk rakyat tempatan mahupun individu dari luar negara.


plastic surgery malaysia
Image credit: earldan via flickr
Pakar Runding Pembedahan Kosmetik, Rekonstruktif dan Plastik, Pusat Perubatan Beverly Wilshire, Kuala Lumpur, Dr Mohamad Nasir Zahari berpendapat Malaysia bakal menjadi maju dalam bidang itu seperti Korea Selatan, tidak lama lagi.

Dalam temu bual khas bersama mStar Online, beliau turut mengupas topik itu secara mendalam serta merungkai sisi tersembunyi pembedahan plastik yang mungkin tidak diketahui ramai. Ikuti keseluruhan soal jawab bersama pakar yang berkecimpung selama 18 tahun dalam bidang ini.

Apa pendapat doktor mengenai industri pembedahan kosmetik? Adakah Malaysia akan jadi seperti Korea Selatan?

Pembedahan plastik ini sesuatu yang universal, tak semestinya dalam satu negara sahaja. Mana-mana sahaja dalam dunia, semua jenis pembedahan plastik dilakukan. Tetapi di beberapa negara seperti Korea, mereka lebih cenderung untuk melakukan perkara-perkara ini secara terbuka.


Kita lebih tertutup, tak expose. Maknanya pesakit pun tak expose sebab masyarakat masih taboo kalau menggunakan rawatan kosmetik atau estetik untuk kecantikan. Mungkin disebabkan oleh budaya atau agama. Di Korea, mereka lakukan secara total, macam transformasi untuk memajukan Korea dan menonjolkan negara sebagai satu jenama secara total, maknanya bukan saja kosmetik estetik, dia punya muzik, tarian, drama dan teknologi kereta, semuanya dipromosikan secara global.



Adakah negara lain tak semaju mereka dari segi teknologi pembedahan kosmetik dan estetik?

Tidak benar sebab Jepun pun sangat maju tapi lebih konservatif. Jadi sama juga misalnya di negara seperti Malaysia, Thailand, Vietnam dan India, ada banyak pembedahan kosmetik, malahan teknologi juga hampir sama sahaja.

Apa yang jadi di luar negara, kita 10 tahun atau 20 tahun lambat. Peningkatan di negara ini kita boleh lihat dalam 10 hingga 20 tahun lagi, industri ini akan berkembang dan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.

Bila kita bercakap dari segi agama, Arab Saudi sendiri di Riyadh (mereka) buat pembedahan kosmetik. Ramai jururawat dari Malaysia kerja di sana. Industri pembedahan kosmetik pun maju di Iran.

Pada pendapat saya, kalau negara macam Arab Saudi pun buat maknanya negara kita satu hari nanti akan jadi macam Korea. Saya jangka jadi sangat terbuka… sampai satu tahap nanti saya fikir akan jadi macam Korea Selatan.

Boleh doktor jelaskan jenis-jenis pembedahan plastik yang ditawarkan di negara ini?

Pembedahan plastik boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu rekonstruktif, kosmetik dan estetik.Pembedahan plastik rekonstruktif bertujuan untuk mengubah bentuk anggota badan yang rosak akibat kemalangan, kebakaran atau kecacatan sejak lahir.

Industri ini dijangka bakal berkembang pesat di Malaysia dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Pembedahan kosmetik pula dilakukan untuk memperbaiki bentuk struktur badan agar kelihatan anggun dan menarik seperti mancungkan hidung dan runcingkan dagu.
Manakala estetik pula perubahan bentuk tubuh badan atau wajah tanpa melakukan pembedahan tetapi menggunakan jarum suntikan seperti filler, botoks, laser dan tanam benang. Ini yang membezakan kosmetik dan estetik. Kosmetik pembedahan manakala estetik maksudnya kecantikan.

Bagaimana pula dengan prosedur tarik muka?

Ada beberapa cara sama ada melalui pembedahan atau tanpa pembedahan menggunakan rawatan radio frekuensi atau mesin yang dipanggil 'Thermage'. Ia boleh menegangkan muka…tarik muka menggunakan radio frekuensi, mesin itu akan panaskan kulit kita yang akan mendorong pengeluaran kolagen baru, sama seperti laser.

Kedua kita boleh guna benang, ada benang khas yang kita boleh masukkan untuk jadikan wajah kelihatan tegang. Kaedah ini boleh tahan dalam setahun dua.

Melalui pembedahan ini kita panggil facelift, ia pembedahan besar mengambil masa selama tiga hingga empat jam. Jadi lebih besar pembedahan itu lebih besar jugalah risikonya. Ia juga memerlukan masa yang lama untuk baik tetapi tahan lama sehingga 10 tahun.

Mengenai breast filler, rawatan ini mudah didapati dan dipromosi secara terbuka di media sosial oleh pakar kecantikan. Apa komen doktor mengenai perkara ini?

Filler ada dua jenis sama ada menggunakan lemak sendiri (fat transfer) ataupun sintetik. Tapi saya tak galakkan guna sintetik filler pada payudara. Payudara adalah organ yang berfungsi untuk penyusuan bayi, jadi filler itu masuk ke bahagian yang tak sepatutnya, katakanlah kilang yang mengeluarkan susu, jadi ia akan menjejaskan pengeluaran susu.

Penggunaan lemak boleh dilakukan tapi kaedah ini pun kena hati-hati kerana lemak pun ada masalah juga. Jadi pada saya kalau nak buat boleh tapi melalui doktor bertauliah iaitu pakar bedah plastik.

Doktor lain yang tidak mempunyai lesen pertauliahan iaitu Letter of Credentialing and Privileging (LCP) daripada Kementerian Kesihatan juga tidak boleh lakukan filler. Jadi pergi ke beautician memang tak digalakkan langsung. Mereka tak sepatutnya menawarkan apa-apa perkhidmatan suntikan ke dalam badan sesiapa. Mereka cuma hanya boleh melakukan rawatan luaran bahagian kulit sahaja.

Memang tak boleh sebab bahaya amat besar kepada payudara. Kebanyakan filler digunakan pakar kecantikan ini tidak dibenarkan kerana menggunakan minyak silikon yang boleh merosakkan struktur payudara.

Lebih selamat gunakan lemak sendiri ataupun implan silikon yang diluluskan penggunaannya. Hasil suntikan filler oleh pakar kecantikan ini boleh dilihat dalam masa sehari, suntik terus besar. Namun apabila terkena jangkitan, payudara akan rosak. Kebanyakan dilakukan di lokasi tidak sesuai seperti hotel dan alat-alat yang digunakan tidak terjamin kebersihannya.

Ada juga kes doktor tidak bertauliah terutama dari luar negara, Taiwan dan China memang mereka tak dapat lesen, jadi apa yang mereka lakukan pusat kecantikan ini aturkan supaya doktor-doktor ini datang ataupun pakar kecantikan itu buat secara senyap di hotel-hotel dan lepas tu terus pulang ke negara mereka.

Jadi janganlah sekali-sekali pergi melakukan rawatan ini di hotel-hotel atau mana-mana pusat kecantikan, memang tak boleh.

Ramai terpengaruh kerana mengikut rakan-rakan, murah selain senang dan mudah didapati. Pergi ke bilik hotel dalam setengah jam buat dah siap, lepas tu terus nampak hasilnya. Tapi kesan kita akan tengok dalam jangka masa panjang.

Ada yang datang minta nasihat daripada saya selepas melakukan filler dengan pakar kecantikan. Ada mereka rasa sakit, tumbuh ketulan yang mengeluarkan nanah dan kita terpaksa buang keseluruhan payu dara itu, memang teruk.

Mengenai suntikan vitamin C pula bagaimana?

Ia masih jadi kontroversi. Buat masa ini tiada bukti kukuh yang mengatakan suntikan vitamin C menghasilkan yang diimpikan.

Tapi ada sesetengah orang kata bila suntik kulit dia jadi lembut, putih semua ini data-data tidak dapat disahkan kesahihannya.

Setengah orang makan manggis kulit dia jadi sangat cantik tapi bila semua orang manggis tak semestinya jadi cantik, betul tak? Jadi tak ada kebenarannya. Kalau nak buat pun pergi ke pakar estetik yang bertauliah.

Suntikan yang diperlukan sebulan sekali. Dalam dua tiga kali suntikan mereka kata ada nampak perubahan.

Jadi mereka akan datang lagi minta suntikan bila kulit tu dah tak bermaya. Vitamin C ni halus jadi pesakit buah pinggang tidak boleh dapatkan suntikan Vitamin C.

Mengenai pertukaran jantina pula, adakah doktor pernah berdepan kes seperti ini?

Setakat ni saya tak buat dah. Dulu masa di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebab ada pusat kajian kita ada lakukan tetapi untuk pesakit-pesakit yang sahih sahaja. Maksudnya pesakit ni dari segi DNA dan perwatakan psikologi ada menunjukkan jantina berlainan daripada yang kita nampak secara luaran.

Jadi daripada situ kita akan buat pemeriksaan ekstensif dan juga mental. Akhirnya ada satu jawatankuasa yang terdiri daripada doktor, pakar psikologi dan pakar psikiatri akan bincang dengan pesakit sama ada nak jadi lelaki atau wanita. Ini maknanya kes yang sahih. Yang lain-lain kes tak sahih mereka buat dimana-mana. Pertukaran jantina ini diharamkan di Malaysia.

Berbalik kepada tujuan pembedahan plastik? Kalau di negara kita, kebanyakannya adakah untuk tujuan rekonstruktif atau demi kecantikan semata-mata? Rawatan mana yang paling mendapat permintaan ramai?

Pembedahan plastik di Malaysia masih seimbang. Macam saya masih lagi buat rekonstruktif, maknanya anda ada satu wajah kemudian wajah itu rosak disebabkan kemalangan, kanser, kebakaran dan melecur, jadi kita bentukkan semula. Itulah sebenarnya asal usul pembedahan plastik maksudnya moulding - pembuatan semula.

Kalau dekat sini kebanyakan pembedahan kosmetik, saya boleh kata 80-90 peratus tapi ada juga yang datang kerana masalah sumbing. Tapi semasa saya berkhidmat di Prince Court dan HUKM suatu ketika dulu, lebih 50 peratus adalah pembedahan rekonstruktif.

Bagaimana pula pembedahan plastik yang dijalankan pakar kecantikan, sejauh mana kegiatan ini berlaku di negara ini?

Pakar kecantikan hanya boleh buat rawatan kecantikan tapi tak bertauliah untuk buat suntikan. Banyak (klinik yang beroperasi secara haram di Malaysia) tapi saya tak boleh dedahkan.

Sebab itu sekarang ni, Kementerian Kesihatan dah keluarkan garis panduan pusat kecantikan yang bukan doktor perubatan tidak boleh melakukan suntikan, apa-apa yang menembusi kulit, katalah suntikan filler, suntikan botox, laser pun tak boleh.

Cuma doktor sahaja dan dalam kalangan doktor pun, bukan semua doktor dibenarkan. Sekarang ni doktor yang buat estetik, kosmetik kena ada lesen dipanggil LCP (Letter of Credentialing and Privileging).

Maknanya beautician memang tak boleh buat. Memang tak boleh langsung...haram. Kalau buat jika jadi apa-apa, anda tak boleh nak dapat pampasan sebab tahu pihak yang melakukan prosedur itu (pakar kecantikan) bukan doktor.

Selain itu, pakar kecantikan gunakan teknik salah... jadi ia merosakkan dan bahan yang digunakan pula tidak dibenarkan.

Apa yang menyebabkan ramai terpengaruh untuk melakukan rawatan kecantikan dengan pakar kecantikan tak bertauliah?

Kos rawatan pun murah. Kalau di sini (Pusat Perubatan Beverly Wilshire) filler beribu-ribu ringgit tapi di sana (pusat kecantikan) cuma RM100 atau RM200 sahaja. Contohlah RM2,000 di sini tapi kat sana boleh dapat RM200. Proses rawatan mudah, mereka terus pergi dan buat. Di sini macam-macam prosedur... dua tiga jam baru siap.

Ada juga sebab pesakit tak tahu dan hanya ikut kawan-kawan. Tanya kawan eh cantik hidung buat kat mana? Mungkin ada beberapa kes tak nampak ada masalah itu yang ramai pergi ke sana. Tapi bila ada masalah mereka datang ke sini untuk buat rawatan.

Kebanyakan pakar kecantikan yang buat semua ni. Kementerian Kesihatan ada buat serbuan tapi pusat kecantikan ini terlalu banyak. Mereka (KKM) tak cukup kakitangan untuk ambil tindakan dan bawa ke mahkamah sebab benda ni ambil masa.

Ada tak pesakit dari klinik haram datang mendapatkan rawatan daripada doktor?

Ada ramai. Mereka datang nak betulkan semula selepas tidak mendapat hasil yang diinginkan. Contoh bila suntik minyak silikon, kulit wajah jadi teruk, ada bonjol, hidung jadi panjang, dan boleh kena jangkitan. Kita hanya boleh kawal kerosakan itu dengan beri antibiotik tetapi ia tidak boleh dibaiki sepenuhnya.

Bagaimana doktor berhadapan pesakit yang jangkaannya terlalu tinggi?

Kita cuba kawal apa yang dia jangka. Pertama kita cakap tak boleh nak capai tahap yang dia mahu. Kedua kita beritahu tak bagus capai tahap itu dan juga sebab-sebabnya. Jadi kita kena kawal apa yang dia jangka. Kebanyakan 95 peratus akan terima. Kalau jadi apa-apa pun mereka akan kerjasama dengan kita perbetulkan atau teliti masalah tu. Tapi ada lima peratus lagi yang tak boleh terima. Ini yang susah.

Biasanya kita tak terima. Tapi mereka akan jumpa doktor lain. Golongan ini kita panggil shopping around, mreka akan pergi dari satu tempat ke satu tempat lain. Dunia pembedahan plastik amat kecil jadi ada doktor yang call tanya kenapa saya tak nak buat? Saya cakap dah cukup dah saya dah buat semua apa yang boleh.

Apakah tempoh yang sesuai untuk melakukan pembedahan plastik baharu?

Enam bulan. Luka baik sepenuhnya dalam tempoh enam bulan sebab kulit kita terpaksa adjust balik kepada asas (foundation). Proses itu agak perlahan. Scar maturity (parut) akan masak dalam masa enam bulan, lepas daripada tempoh itu dah tak ada lagi perubahan parut.

Jika kurang enam bulan, parut tu boleh lagi menarik sana sini ataupun parut tu boleh jadi lembut dengan otot. Sebab tu kalau pesakit datang nak tukar-tukar, kita suruh tunggu enam bulan. Kebanyakannya akan kata ok sebab hanya perlu menunggu sahaja.

Apakah risiko atau kesan sampingan akibat pembedahan plastik? Bagaimana dengan individu yang berulang kali melakukan pelbagai pembedahan plastik? Adakah boleh membawa kematian?

Risiko umumnya sama seperti pembedahan biasa seperti bengkak, pendarahan dan jangkitan kuman tetapi pembedahan plastik tak hilang banyak darah. Namun ia lebih kepada kesan anestasia termasuk risiko-risiko umum seperti pembedahan biasa.

Lagi satu apa yang diharapkan pesakit. Bila dia mahu mancungkan hidung, mereka dah fikir apa yang sepatutnya akan jadi. Jadi apabila kita buat walaupun tak ada senget, mereka kata tak cantik. Ada juga yang tak puas hati walaupun tak ada komplikasi perubatan.
Sebagai contoh kes perubahan wajah raja pop Michael Jackson yang agak teruk meskipun sudah melakukan pelbagai pembedahan plastik.

Bila kita buat pembedahan plastik, parut akan berlaku di dalam. Kedua kita semakin tua, struktur tulang kita jadi kecil, otot kita jadi kecil, kalau dulu kita dah buang itu, buang ini, akhirnya jadi cengkung macam tengkorak. Cuba anda tengok muka dia (Michael Jackson) dah jadi teruk sangat, kulit dan tulang melekat dan hidung dia semua 'jatuh' (collapse).

Sebab itu, perlu diingat pembedahan kosmetik tak boleh keterlaluan. Kalau kita nak buat biarlah secukupnya sahaja, lebih baik buat sikit-sikit dulu. Kalau anda cuba nak buang semua, kita dah tak boleh buat apa dah.

Berhubung kes melibatkan kematian, ia lebih kepada komplikasi tapi jarang berlaku. Kebanyakan komplikasi anestasia dan reaksi alahan. Apabila pesakit datang ke hospital kita, sejarah perubatan pesakit akan diperiksa.

Kalau individu ada penyakit dan tak sesuai untuk melakukan pembedahan plastik, kita cadangkan dia buat rawatan estetik sahaja sebagai alternatif. Contohnya boleh guna rawatan laser untuk elak dibedah.

Boleh doktor kongsi latar belakang pesakit yang melakukan pembedahan plastik di sini?

VIP ramai, VVIP dan artis pun ada tapi kita tak boleh dedahkan identiti mereka. Lagi-lagi pembedahan estetik, orang kalau boleh nak sorok-sorok datang ke sini. Masa dah berubah orang sanggup keluarkan duit untuk cantik.

Kira-kira 66 peratus pesakit kami terdiri daripada rakyat tempatan manakala 34 peratus lagi warga asing dari Australia, New Zealand, Indonesia, Singapura, China, United Kingdom, Vietnam, Brunei dan lain-lain negara.

Kalau di sini kebanyakannya pembedahan kosmetik, kira-kira 80 hingga 90 peratus. Tapi ada juga yang datang sebab sumbing dan mangsa kebakaran. Berbeza semasa saya berkhidmat di HUKM suatu ketika dulu, kira-kira 50 peratus atau lebih membabitkan pembedahan rekonstruktif.

Saya pernah berurusan dengan pesakit paling muda, umur 16 tahun nak buat payudara. Dia kena minta kebenaran ibu bapa. Pesakit paling tua pula berusia 75 tahun dari luar negara. Dia buat facelift.

Jika wanita lebih gemar melakukan estetik, golongan lelaki pula bagaimana? Adakah mereka pun cenderung ke arah yang sama?

(Lelaki) ramai tapi tidaklah seramai di luar negara. Perempun buat sorok-sorok, lelaki apatah lagi kan. Kebanyakan lelaki buat hidung dan facelift kadang-kadang. Tapi ada juga bila dan berusia mereka buang lemak.

Di sini jarang lelaki buat macam perempuan, belum ada lagi tapi di Korea, lelaki perempuan sama. Mereka terlalu obses dengan sesuatu bentuk. Itu kalau kita pergi Korea Selatan kita tengok lelaki perempuan sama sahaja.

Pada zaman serba moden ini, adakah doktor setuju media sosial banyak mempengaruhi orang ramai untuk kelihatan cantik?

Betul. Ia memang mempengaruhi. Mereka mahu kelihatan sempurna di mata ramai. Contohnya nak ikut gaya rambut, kulit dan hidung orang-orang yang cantik di media sosial. Ia memang memberi kesan.

Mereka gunakan itu sebagai 'bible' atau kitab untuk menentukan hala tuju hidup mereka. Sebagai contoh pesakit anoreksia, dalam fikiran mereka tak boleh terima bentuk badan sedia ada dan fikir mereka berada dalam badan yang salah. Mereka sentiasa bawa gambar nak macam ni... macam tu.

Apakah pengalaman yang tidak boleh dilupakan doktor? Sepanjang terlibat dalam industri ini, apakah permintaan paling pelik pernah diterima?

Pengalaman tak dapat dilupakan apabila orang yang buat pembedahan rekonstrutif terutamanya kanak-kanak sumbing, ibu bapa mereka amat berterima kasih. Mereka nampak bukan macam 100 peratus normal tapi boleh diterima masyarakat. Ini yang buat kita terharu kerana mereka boleh diterima masyarakat.

Berhubung permintaan yang pelik ada segelintir yang mempunyai keinginan melampau. Contohnya payudara yang terlalu besar mereka sanggup tandatangani borang untuk tanggung risiko.

Mula-mula implan 300 cc lepas tu tak puas hati tambah lagi 500 cc. Akhirnya dia nak 800 cc pula. Saya tolak sebab terlalu mengarut. Jururawat saya pun takut nak tengok. Ini kita panggil sindrom kelainan dismorfik tubuh (BDD).

Adakah pembedahan plastik ini dilakukan atas keperluan perubatan atau kerana keinginan semata-mata?

Kalau estetik kosmetik ia lebih kepada rawatan perubatan. Walaupun tak ada indikasi perubatan, katalah hidung tak mancung, tiada masalah kesihatan pun? Jadi kecantikan ini biasanya tak ada tujuan kesihatan 100%… lebih kepada trend, tapi tak semestinya juga. Sebagai contoh kalau nak kerja dalam sesuatu bidang yang perlukan penonjolan fizikal, jadi itu dah jadi satu masalah, betul tak?

Mereka minat sangat tapi tak boleh sebab mereka tak ada rupa paras fizikal yang sebegitu, jadi itu mendatangkan situasi di mana mereka berasa rendah diri sehingga menimbulkan rasa sedih dan memberi kesan dari segi psikologi. Jadi kalau masuk psikologi dah jadi bidang perubatan, betul tak? Maknanya ada sedikit dari segi psikologi.

Apabila seseorang individu mahu melakukan pembedahan plastik, apa yang menjadi ukuran dan rujukan mereka? Kebanyakannya macam mana?

Kebanyakan menjadikan hidung Caucassian sebagai rujukan sekiranya mahu mancungkan hidung. Bila bagi gambar-gambar untuk kajian, mereka pilih yang ini. Tetapi untuk orang Asia, kita akan beritahu tak boleh ikut mancung macam ni kerana tak sesuai. Jadi hidung, mata dengan muka bentuk V-Shape, tiga perkara ini yang paling banyak dilakukan pesakit di sini.

Sebagai contoh satu lagi ialah payu dara. Tujuan anda nak dapatkan bentuk yang feminin betul tak? … yang orang tengok cantik, bukannya buah dada yang besar. Bila buah dada besar orang pandang bahagian tu jelah kan? Tapi kita nak tengok orang tertarik dengan anda sebab body ratio anda menunjukkan ciri-ciri kewanitaan yang bagus. Jadi kalau nak buat pembedahan pembesaran payudara, kita buat ukuran yang sesuai. Tapi kalau mereka minta yang besar, kita tak boleh buat apalah. Kita dah bagi nasihat.

Di Afrika pula, mereka tak kisah sangat pasal muka. Mereka lebih kepada punggung, mereka ingin punggung yang besar. Macam Korea, rakyat di negara itu tak nak sangat benda-benda macam tu, mereka tak nak punggung besar semua… payudara okaylah. Jadi itu perbezaannya dari segi budaya.

Secara kasarnya, berapa harga untuk melakukan pembedahan plastik?

Secara umumnya rawatan untuk pembedahan estetik dan kosmetik ni bukan murah. Saya nak beritahu terus terang. Kalau murah, maknanya tak betullah. Kalau tiba-tiba datang ke satu klinik (estetik dan kosmetik), contoh harga RM30,000 tapi bila pergi tempat lain dapat harga RM10,000 atau RM8,000 pula, mesti tak betul. Mesti ada bahan diguna tak betul atau rawatan itu dilakukan pakar tak bertauliah.

Comments